Wabak organisasi: Ego dan sombong
EGO dan sombong adalah sifat mazmumah yang amat dimurkai oleh Allah SWT. Ia terlindung dan terhijab jauh dalam hati kecil. Namun, kesannya amat besar sehingga boleh memberikan kesan kepada tingkah-laku, gaya dan tutur-kata seseorang.
Ego dan sombong adalah sifat yang berakar umbi dari perasaan merasa diri lebih baik dari orang lain. Ia wujud apabila sikap tawaduk dan merendah diri tidak disemai dalam diri.
Akibatnya, seseorang yang mempunyai sifat ego dan sombong boleh membawa kepada kesesatan kerana biasanya dia akan menolak sesuatu kebenaran walaupun hati kecil mengakui akan kebenaran itu.
Demikianlah yang berlaku kepada golongan kafir Quraisy yang tetap berada dalam keadaan jahiliah kerana menafikan kerasulan Nabi SAW walaupun mereka sebenarnya mengakui bahawa baginda adalah orang yang amanah dan boleh dipercayai (al-amin).
Cuba kita perhatikan juga sikap iblis yang diarahkan Allah SWT untuk sujud kepada Nabi Adam. Namun, ia enggan sujud kerana sifat ego dan juga sombong. Lalu Iblis menjadi golongan yang ingkar dan kufur kepada Allah SWT.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam. Lalu mereka sekeliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; dia enggan dan takbur dan menjadilah dia dari golongan yang kafir(al-Baqarah: 34).
Mengapa timbul rasa ego dalam diri iblis? Sebabnya, iblis merasa dirinya lebih baik daripada Adam yang dicipta daripada tanah. Sedangkan iblis dicipta daripada api.
Bagi menghuraikan lebih lanjut sikap ego iblis, Allah berfirman yang bermaksud: Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripadanya; Engkau (wahai Tuhanku) ciptakan daku dari api, sedang dia Engkau ciptakan dari tanah". (Saad: 76)
Sifat ego dan sombong mungkin boleh berlaku kepada sesiapa sahaja sama ada kaya atau miskin, tua atau muda, lelaki atau perempuan. Kadang-kadang kita hampir tidak menyedari dalam diri kita mempunyai sikap ego dan sombong.
Justeru, kita perlu melihat jauh ke dalam diri dan melakukan muhasabah agar ia dapat dirawat secepat mungkin supaya tidak membarah.
Dalam organisasi, sifat ego dan sombong akan berlaku kepada kedua-dua belah pihak sama ada majikan atau pekerja.
Tanda seseorang itu ego
Antara petanda mereka yang mempunyai ego dan sombong adalah sukar menerima pandangan dan teguran dari orang lain. Ataupun, mungkin menerima pandangan tersebut tetapi secara terpaksa tanpa hati yang sejahtera.
Seorang majikan yang ego merasa dirinya seorang sudah cukup untuk membuat keputusan dan menentukan hala tuju organisasinya. Dia tidak akan menghiraukan pandangan, keluhan, idea serta teguran yang dibuat oleh orang bawahan.
Pekerja yang ego pula adalah yang tidak mahu menuruti arahan majikan dan tidak mahu berkongsi ilmu serta kemahiran dengan rakan sejawat.
Pekerja yang ego sentiasa merasa dirinya betul dan orang lain salah. Walaupun, hakikat yang kita perlu akui bersama ialah pandangan semua manusia boleh diterima dan ditolak kecuali Rasulullah. Kita semua tidak sunyi dari melakukan kesalahan.
Rasulullah mempunyai sifat rendah diri yang sangat hebat. Walaupun baginda terpelihara dari melakukan dosa serta dibimbing terus daripada Allah, namun baginda menunjukkan akhlak yang tinggi apabila meminta pandangan dari para sahabat khususnya dalam perkara yang melibatkan urusan keduniaan.
Sebagai contoh, dalam peperangan Badar, Rasulullah meminta pandangan para sahabat tentang strategi peperangan dan mengenai langkah yang sepatutnya dilakukan terhadap tawanan-tawanan perang Badar.
Demikian juga, semasa peperangan Khandak, Rasulullah telah menerima pandangan Salman al-Farisi supaya menggali parit untuk berhadapan dengan musuh.
Mengambil pedoman melalui beberapa contoh ini, sebenarnya tiada alasan untuk kita mempunyai ego dan sombong sehingga langsung tidak mengendahkan pandangan serta teguran orang lain.
Antara ciri-ciri lain orang yang ego adalah suka memandang rendah kepada orang lain. Mereka anggap orang di sekelilingnya sebagai saingan dan musuh dalam kehidupannya. Dia tidak akan senang dan tenang setiap kali melihat kejayaan orang lain.
Setiap kelebihan yang ada kepada orang lain akan diperlekehkan dan setiap keburukan yang ada pada orang lain akan ditonjol dan diuar-uarkannya.
Semuanya semata-mata untuk melihat orang lain jatuh dan dirinya naik, dipuja dan dipuji. Kegagalan orang lain adalah kepuasan bagi dirinya, sementara kejayaan orang lain adalah kesedihan bagi dirinya.
Pil kurus bukan penyelesaian
Soalan: Saya mempunyai masalah berat badan. Seorang rakan menyarankan saya mengambil pil kurus. Apakah kesannya kepada kesihatan saya? Bagaimana saya mahu menguruskan badan tanpa kesan sampingan?
* Suzi, Kuala Lumpur.
Jawapan:
Masalah berat badan merupakan isu utama di kalangan wanita tak kira peringkat usia, bangsa dan adat budaya. Ia sentiasa menghantui pemikiran. Kadang-kadang wanita kita yang mempunyai masalah ini digelar '3G' - gebu, gempal dan gemuk. Ada yang bimbang suami memandang wanita lain yang lebih cantik jelita. Para isteri sanggup berbuat apa saja untuk menarik perhatian suami kepada diri mereka. Ada yang menghabiskan beribu ringgit untuk rawatan kecantikan dan juga pelangsing badan. Kegemukan atau obesiti juga boleh mengakibatkan masalah kesihatan lain seperti meningkatnya risiko kanser payu dara, kanser usus (kolorektal), kanser rahim (uterus/ peranakan), penyakit buah pinggang, ketidakseimbangan hormon dalam badan, penyakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan juga strok (angin ahmar).
Mesti ramai di antara anda yang berazam nak kuruskan badan. Tapi untuk menguruskan badan anda ke tahap ideal ia bukanlah semudah yang disangka. Anda perlukan komitmen yang amat tinggi untuk merealisasikannya. Berikan diri anda ruang, masa dan usah cepat berputus asa. Anda pasti boleh.
Bersungguh-sungguh
Sebaiknya, lupakan niat anda untuk mengambil sebarang ubat-ubatan dengan tujuan menurunkan berat badan. Lebih-lebih lagi tanpa mendapat nasihat atau kebenaran doktor.
Rendah kalori
Anda juga hendaklah menetapkan waktu makan anda setiap hari. Sebagai contoh mengambil sarapan di antara jam 7.00 ke 7.30 pagi, makan di antara waktu pagi dan tengahari (10.00 - 11.00 pagi), makan tengahari (12.30 tengahari - 1.30 petang), minum petang (3.30 - 4.00 petang) dan makan malam (6.30 petang - 7.30 malam). Kemudian, disiplinkan diri anda agar makan pada waktu yang ditetapkan. Jika dicepatkan atau dilambatkan sedikit pun tak mengapa. Ikut keadaan dan kesesuaian anda. Cuba amalkan untuk menjamah makanan di ruang makan dan bukanlah di depan televisyen. Biasakan diri untuk menggunakan pinggan yang lebih kecil semasa makan. Tujuannya supaya anda tidak mengambil terlalu banyak atau menambah lauk-pauk yang berlemak atau berkalori tinggi.
Penuhkan hari anda dengan melakukan aktiviti tertentu bagi mengelakkan daripada asyik teringatkan makanan.
Sebagai contoh, lakukan aktiviti senaman atau aerobik tiga hingga lima kali seminggu. Lakukan selama 30 minit setiap hari. Akhir sekali, pastikan anda mendapatkan rehat secukupnya. Contohnya waktu tidur, tidurlah dalam enam hingga lapan jam sehari. Saya mengharap agar Suzi dapat mencuba panduan kuruskan badan yang telah diberikan. Insya-Allah, anda akan kelihatan lebih langsing ataupun mendapatkan berat badan yang ideal. Selamat mencuba.
Comments
Post a Comment